TANDA-TANDA KENABIAN SEBELUM KELAHIRAN NABI MUHAMMAD

Nabi Muhammad telah dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah, 50 hari selepas berlakunya peristiwa tentera gajah. Antara tanda kenabian Rasulullah sebelum dilahirkan ialah Kota Mekah terpelihara daripada serangan tentera bergajah. Peristiwa serangan tentera Abrahah yang ingin menghancurkan kaabah ini berlaku pada tahun 570 M iaitu tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Pada hari yang dirancang, Abrahah dan tenteranya ingin menuju terus ke Kaabah dan melunaskan hasrat mereka. Namun, gajah-gajah yang ditunggani tidak mahu bergerak apabila dihadapkan ke arah Kaabah. Walaupun gajah itu dipukul berkali-kali tetapi gajah itu tidak bergerak walau seinci.

Tiba-tiba sekumpulan burung muncul dari arah laut. Burung-burung ini dinamakan burung Ababil. Burung ini telah diperintahkan oleh Allah untuk membawa batu daripada neraka dengan menggunakan paruh dan kukunya untuk dijatuhkan ke atas Abrahah dan tenteranya. Burung-burung itu telah menjatuhkan batu-batu kecil kepada tentera Abrahah sehingga kepala mereka pecah dan daging mereka terkoyak serta berselerakan di atas tanah. Batu itu juga telah menimpa Abrahah. Abrahah berasa takut dan dia meyakini bahawa tuhan telah marah kepadanya.

Kemudian, dia melihat para tenteranya telah jatuh dan rebah ke bumi seperti daun yang luruh daripada pokoknya. Oleh itu, dia telah memerintahkan tenteranya yang selamat agar segera kembali ke Yaman. Abrahah dan tenteranya mati sewaktu perjalanan pulang ke Yaman. Tubuh Abrahah penuh dengan kesan luka dan mati dalam keadaan yang mengerikan. Allah telah berfirman mengenai peristiwa ini di dalam surah Al-Fil,

Maksudnya : Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu Telah bertindak terhadap tentara bergajah[1601]? Bukankah dia Telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia? Dan dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat). (Surah Al-Fil, ayat 1-5)

[1601]  yang dimaksud dengan tentara bergajah ialah tentara yang dipimpin oleh Abrahah Gubernur Yaman yang hendak menghancurkan Ka'bah. sebelum masuk ke kota Mekah tentara tersebut diserang burung-burung yang melemparinya dengan batu-batu kecil sehingga mereka musnah.
            Selain itu, sebelum nabi Muhammad dilahirkan, perkara pelik telah berlaku di istana raja Parsi iaitu kerajaan yang paling besar pada masa itu. Iwan Kisra (istana raja Parsi) telah berlaku gegaran yang menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh orang Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah terpadam sebelum ini telah terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Parsi itu tertimbus. Apabila kisra iaitu Raja Parsi melihat kejadian-kejadian pelik ini, dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit. Merekalah yang memberitahu berita ini kepada para pendeta dan ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.


Allah telah berfirman di dalam surah Al-Jin ayat 9,

Maksudnya : Dan Sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). tetapi sekarang[1524] barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

[1524]  yang dimaksud dengan sekarang, ialah waktu sesudah nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi rasul.

Oleh itu, ada di antara pendeta yang menyebutkan kepada Kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi. Kemudian, Kisra bertanya maksud 14 anjung istana Kisra yang runtuh. Mereka berkata, "Kerajaan Parsi akan diperintahkan oleh 14 orang Kisra lagi, selepas itu, kerajaan Pasri akan jatuh." Kisra berkata, "14 orang Kisra lagi mengambil tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlu dirisaukan."
Selepas kematian Kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang memerintah Parsi. Semua ini ialah petanda kejatuhan kerajaan Parsi iaitu kerajaan yang paling besar pada masa itu. Perkara ini merupakan berita gembira yang berlaku sempena kelahiran nabi Muhammad. Berhala-berhala di sekeliling Kaabah juga telah tumbang sebelum nabi Muhammad dilahirkan.

            Peristiwa Abdullah bin Abdul Mutalib, ayah Nabi Muhammad yang ingin dikorbankan oleh datuknya Abdul Mutalib, juga merupakan tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad S.A.W sebelum baginda dilahirkan. Peristiwa ini berlaku sewaktu orang Quraisy mengakui Zamzam kepunyaan Abdul Mutalib, maka Abdul Mutalib bernazar jika Tuhan mengurniakan dia 10 orang anak lelaki, dia akan mengorbankan salah seorang anaknya. Tuhan telah mengabulkan doanya. Apabila anaknya besar dan telah sampai waktunya untuk melaksanakan nazarnya maka Abdul Mutalib pergi berjumpa dengan kahin iaitu seorang pendeta Kaabah. Abdul Mutalib pergi berjumpa dengan kahin tersebut untuk memintanya membuat undi kepada anak-anaknya bagi menentukan siapa yang akan menjadi korban.

            Abdul Mutalib sangat berharap agar undian itu tidak terkena kepada Abdullah. Abdullah ialah anak kesayangan Abdul Mutalib. Tetapi nasib tidak menyebelahi Abdullah. Undian itu telah terkena kepada Abdullah. Walaupun dengan berat hati untuk mengorbankan Abdullah, tetapi Abdul Mutalib nekad untuk melaksanakan nazarnya. Dia tidak mungkin memungkiri nazarnya kepada Tuhan. Akhirnya, Abdullah dibawa ke Isaf untuk disembelih. Apabila orang Quraisy mengetahui hal itu, mereka cuba menahan Abdul Mutalib. Tetapi Abdul Mutalib tetap dengan pendiriannya dan hal ini menyebabkan timbulnya kekecohan. Dalam kekecohan itu, telah berlakunya tolak menolak antara Abdul Mutalib dengan orang Quraisy dan menyebabkan kepala Abdullah terluka.

            Orang Quraisy telah memujuk Abdul Mutalib dengan berkata, “Wahai Abdul Mutalib, engkau ketua Mekah, jika engkau menyembelih anak engkau, hal ini akan menjadi ikutan dan tradisi orang Arab. Mereka akan beranggapan jika mereka memiliki 10 orang anak lelaki maka mereka perlu mengorbankan salah seorang anak mereka. Hal ini akan menjadi berat dan menghilangkan kebahagiaan. Tolonglah jangan buat begini wahai Abdul Mutalib, nanti perkara ini akan menjadi ikutan.” Tetapi Abdul Mutalib sudah bernazar dan dia mesti menunaikan nazarnya.

            Akhirnya, Abdul Mutalib telah merujuk kepada pendeta suku kaum Saad. Pendeta ini bertanya berapa ganti rugi kepada orang yang dibunuh bagi seorang lelaki yang merdeka pada orang Quraisy. Mereka berkata 10 ekor unta betina. Pendeta berkata, jika begitu buatlah undian antara Abdullah dan 10 ekor unta, jika undian terkena kepada Abdullah perlulah ditambahkan 10 ekor unta sehinggalah undian terkena kepada unta. Apabila dibuat undian maka undian itu terkena kepada Abdullah. Maka perlulah ditambah 10 ekor unta. Hal ini terjadi sehinggalah sampai 100 ekor unta, kemudian barulah undi terkena kepada unta.

            Pada masa itu, Abdul Mutalib telah meminta mengulangi undian bagi memastikan undian terkena kepada unta. Tiga kali undian diulang, maka jawapannya tetap sama iaitu undian terkena kepada unta. Abdul Mutalib menyembelih 100 ekor unta sebagai ganti kepada anak kesayangannya Abdullah, ayah kepada Nabi Muhammad S.A.W. Allah telah menyelamatkan Abdullah daripada disembelih. Maka keturunan Nabi Muhammad S.A.W sangatlah mulia dan dijaga oleh Allah.

Di samping itu, Aminah, ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa penat ataupun sakit. Sebelum nabi Muhammad dilahirkan, Aminah telah bermimpi beberapa kali tentang perkhabaran yang gembira mengenai anak yang bakal dilahirkan iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Aminah mengatakan bahawa dia bermimpi melihat cahaya yang bersinar-sinar keluar daripada dirinya sebagaimana cahaya matahari dan bulan, kemudian cahaya itu menerangi seluruh Makkah. Kemudian, Aminah mendengar satu suara ghaib yang mengatakan, “ Sesungguhnya engkau akan melahirkan seseorang yang paling dikasihi oleh Tuhannya, engkau akan melahirkan seorang penghulu bagi orang Arab dan orang ‘Ajam”.

Selain itu, firasat rahib Yahudi pada malam kelahiran Nabi juga ialah merupakan tanda kenabian nabi sebelum dilahirkan. Muhammad bin Ishak berkata, “Adalah Hisyam bin ‘Urwah bercerita yang diterima daripada bapanya, daripada Aisyah r.a, dia berkata, “Adalah seorang Rahib (pendeta) Yahudi yang sedang berada di Makkah. Pada malam kelahiran Rasulullah S.A.W, dia berkata kepada sekumpulan kaum Quraisy, “Wahai orang-orang Quraisy! Adakah seorang bayi dilahirkan daripada kalangan kaummu pada malam ini?”. Mereka menjawab, “Demi Allah, kami tidak mengetahuinya!” Seorang Yahudi itu berkata, “allahu akbar! Apabila hal ini telah melalaikan kamu semua tidak mengapa, perhatikan dan ingatlah baik-baik kataku ini, “Telah dilahirkan seorang Nabi akhir zaman bagi umat ini pada malam ini! Di antara kedua bahunya terdapat tanda-tanda kerasulan yang terang, dia enggan menyusu selama dua malam disebabkan jin Ifrit telah memasukkan jari telunjuknya ke dalam mulutnya, kerana itulah dia tidak mahu menyusu. (Al-Hafiz Ibnu Kathir, al-Sirah al-Nabawiyah, juzuk 1, hlm. 212)

Kaum Quraisy pun bersurai dan mereka berasa hairan terhadap apa yang dikatakan oleh rahib Yahudi tersebut. Tidak berapa lama tersebarlah berita bahawa telah lahir seorang bayi daripada keturunan Abdullah yang diberi nama Muhammad S.A.W. Kemudian gemparlah seluruh penduduk Makkah dan mereka saling mengingat apa yang dikatakan oleh seorang Yahudi tersebut dengan saling berkata, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh orang Yahudi itu dan adakah telah sampai berita tentang bayi ini?”.
Kemudian mereka datang kepada Rahib Yahudi tersebut dan membawa khabar itu. Kemudian orang Yahudi tersebut meminta agar dihantar untuk menemui bayi tersebut. Mereka datang ke rumah Abdul Mutalib dan rahib itu berkata, “ Keluarlah wahai Aminah dan bawalah bayimu aku ingin melihatnya!”. Setelah Yahudi itu melihat dan membuka belakang Nabi Muhammad S.A.W. maka dia berkata, “Demi Allah S.W.T, inilah tanda-tanda kenabian sebagaimana yang dikhabarkan kepada Bani Israel, untuk itu maka bergembiralah wahai bangsa Quraisy dengan kelahiran bayi ini! Demi Allah, sesungguhnya kamu akan menjadi kaum yang berpengaruh di mana syiarnya akan menembusi dunia dari ufuk Timur sehingga Barat.”
  

Comments (0)