TANDA-TANDA KENABIAN SEMASA KELAHIRAN RASULULLAH



Ketika kelahiran Nabi Muhammad saw ke dunia, banyak perkara pelik yang telah berlaku. Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan salah satu daripada tanda tersebut. Menurutnya, sewaktu Nabi Muhammad lahir, dia berada di Madinah. Ketika itu dia baru berumur tujuh tahun. Pada hari itu aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi telah memanjat naik ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, “bintang Ahmad muncul di langit” Bintang ini hanya akan muncul apabila Muhammad dilahirkan. Peristiwa itu disaksikan sendiri oleh Hasan. 

Tanda-tanda kenabian pada diri kekasih Allah, Muhammad bin Abdullah bukan sahaja dapat dilihat sebelum baginda dilahirkan sahaja, malah tanda-tanda itu turut terlihat sewaktu baginda keluar dari perut ibunya, Aminah.
Aminah binti wahab telah menceritakan pada waktu melahirkan nabi Muhammad SAW, dia merasakan di sekelilingnya ada cahaya yang bergemerlap bagaikan bintang berjatuhan. Ketika itu datuk Nabi Muhammad SAW, Abdul Muthalib sedang berada di Ka’bah. Sebaik sahaja beliau mendengar berita kelahiran cucunya, Abdul Muthalib kembali ke rumah. Beliau sangat gembira menyambut kelahiran cucu yang dinantikan lalu menamakannya Muhammad yang bererti “orang yang terpuji”. Pada saat kelahiran rasul utusan akhir zaman, Nabi Muhammad SAW iaitu pada tanggal 12 Rabiul Awwal, tahun gajah, Aminah telah menyaksikan cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Malah cahaya tersebut bersinar sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia kelihatan seakan-akan anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Menurut sesetengah pendapat, cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Sumber-sumber Arab yang paling awal menyatakan bahawa ketika baginda dilahirkan terdapat suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah.
Menurut buku Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam (karangan Mustafa al-Saqa, Ibrahim al-Abyari dan Abdul Hafiz Syalabi), sewaktu beliau mengandungkan Baginda Rasulullah SAW, beliau juga telah bermimpi melihat cahaya keluar dari perutnya hinggakan dengan cahaya tersebut beliau dapat melihat istana-istana Busra di negeri Syam. Tambahan lagi tanda kenabian baginda juga telah terlihat sebaik  sahaja lahir ke dunia. Hal ini dapat dibuktikan dimana ibu baginda, Aminah sendiri melihat baginda berada dalam keadaan terbaring sementara kedua-dua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Menurut sesetengah riwayat lain, ketika dilahirkan nabi berada dalam keadaan memandang ke arah langit serta tangannya diletakkan ke tanah melambangkan martabatnya lebih tinggi daripada semua makhluk.
Kitab Taurat dan Injil telah menceritakan perihal kelahiran seorang nabi pada akhir zaman yang memiliki darjat yang lebih tinggi daripada nabi-nabi yang lain. Ketika Aminah melahirkan Nabi Muhammad SAW, beliau ditemani oleh Asiah dan Maryam. Ini juga menjadi satu isyarat bahawa darjat Nabi Muhammad lebih tinggi berbanding Nabi Musa dan Nabi Isa. Menurut Rusydi Ramli (2012), peristiwa yang mengawal kelahiran setiap nabi tidak akan terjadi secara kebetulan. Semua peristiwa tersebut berada dalam realiti dan telah direncanakan oleh Allah SWT, khususnya yang berkenaan dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW baik dalam kitab Taurat mahupun Injil. Firman Allah dalam Al-Quran:
   
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!" (Surah As-Shaff: 6)

Selain itu, ibunda Rasulullah SAW turut melihat awan turun dan menyelimuti dirinya dan menyerunya untuk memimpin bayinya mengelilingi bumi Timur dan Barat, agar mereka mengetahui bahawa dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik. Sementara pada malam kelahiran baginda juga, berhala-berhala yang terdapat di situ telah rosak dan musnah. Abdul Mutalib yang ketika itu sedang berada di Kaabah telah melihat peristiwa di mana berhala tiba-tiba jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Abdul Mutalib turut mendengar suara dari dinding Kaabah yang mengatakan “telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''
Sementara itu, Al-Hafiz Ibnu Kathir pula menjelaskan di dalam kitabnya bahawa Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan dalam keadaan telah dikhitankan dan sudah terputus urinya (Abu Mazaya Al-Hafiz, 2008). Beliau meriwayatkan daripada Al-Baihaqi di mana mafhumnya adalah seperti berikut:

Abu Baihaqi berkata, “Abu Abdillah Al-Hafiz menceritakan kepadaku, menceritakan kepadaku Abu Bakar bin Ahmad bin Hatim Ad-Darai,  menceritakan kepadaku Abu Abdillah Al-Busaynji, menceritakan kepadaku Abu Ayyub Sulaiman bin Salamah Al-Khabairi, menceritakan kepadaku Yunus bin Ata’ bin Uthman bin Rabi’ah bin Ziyad bin Al-Harith al-Shadai di Mesir, menceritakan kepadaku al-Hakam bin Abban daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas daripada bapanya (Abbas) bin Abdil Mutahalib r.a. dia berkata, “Adalah Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan telah berkhitan dan terputus urinya.” Kemudian di berkata lagi, “Maka hairanlah Abdul Mutalib dan dia pun mendekati dan hormat kepadanya.” Kemudian dia berkata, “Sesungguhnya ada sesuatu (yang luar biasa) pada anakku ini. Maka hal itu pun benar-benar terbukti.

Sementara itu, Ibnu Asakir pula meriwayatkan daripada satu hadis yang diambil daripada Sufyan bin Muhammad al-Masisi daripada Hisyam bin Malik, “Adalah Rasulullah SAW bersabda:

“Sebahagian daripada kekeramatanku (kemuliaanku) daripada Allah SWT adalah aku dilahirkan dalam keadaan telah berkhitan dan tiada seorang pun yang mengalami hal ini selain aku.”
Namun begitu, al-Hafiz Ibnu Asakir meriwayatkan satu hadis lagi daripada Abdul Rahman bin Uyainah al-Basri, menceritakan kepadaku Ibnu Muhammad Al-Madaini al-Salma, menceritakan kepadaku Salamah bin Maharib bin Muslim bin Ziyad daripada bapanya daripada Abi Bakrah, “Bahawasanya Jibril telah mengkkhitan Nabi Muhammad SAW ketika beliau membersihkan dan mencuci hati Baginda SAW.” Berhubung hadis ini, Ibnu Kathir berkata , “Yang sedemikian ini adalah sangat aneh.”

            Kelahiran Nabi Muhammad SAW telah membawa rahmat ke seluruh Alam. Allah telah merahmati setiap orang yang meraikan dan memuliakan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Iaitu orang-orang Yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi Yang Ummi, Yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di Dalam Taurat dan Injil Yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka Dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara Yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu Yang ada pada pada mereka. maka orang-orang Yang beriman kepadaNya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) Yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang Yang berjaya.( Surah Al-‘Araf : 157)

Ini dapat dibuktikan apabila Allah SWT juga telah meringankan azab kepada Abu Lahab atau Abdul Uzza yang menyambut kelahiran Baginda Muhammad SAW. Seperti yang kita sedia maklum, Abu Lahab merupakan bapa saudara nabi yang sangat gembira dia atas kelahiran Nabi Muhammad. Namun, setelah Nabi Muhammad menjadi Rasul dan menyampaikan risalah Islam kepadanya, Abu Lahab telah mencaci baginda dan sama sekali menolak ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Peristiwa ini berlaku setelah Baginda Rasulullah dilantik menjadi Nabi, di mana perkara pertama yang dilakukan Nabi SAW ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku, sepupu-sepupuku, adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" Jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi SAW pada waktu itu berkata: "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." Maka jawab Nabi SAW. "Maka pada hari ini aku ingin isytiharkan aku adalah utusan Allah." Lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Celakalah Muhammad", apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?". Sehubungan itu, Allah SWT telah menurunkan ayat Al-Qur'an surah Al-Masad:
   
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan Segala Yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka Yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali Yang dipintal.
            Mahupun begitu, Allah telah memberikan keistimewaan kepada Abu Lahab di mana setiap hari Isnin, azab ke atasnya akan diringankan hanya kerana di telah menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab ketika menerima berita kelahiran Nabi Muhammad SAW telah pun menyatakan kesyukuran kepada tuhan yang menjaga Ka'bah, dan mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda gembira dengan kelahiran Muhammd SAW. Malah, Abu Lahab juga telah memerdekakan beberapa orang hamba. Seorang daripadanya ialah Suwaibah yang kemudiannya menjadi ibu susu Nabi.
Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, bahawa azab ke atas Abu Lahab diringankan pada Isnin, iaitu hari kelahiran Rasulullah, kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.

            Dengan hanya disebabkan keraian Abu Lahab terhadap kelahiran rasulullah, Allah telah meringankan azab terhadap beliau pada setiap hari Isnin. Ini menunjukkan betapa istimewanya hari kelahiran nabi Muhammad hinggakan Abu Lahab yang kuffar, serta seorang musuh kepada Nabi juga diringankan azabnya. Malah, hal ini juga jelas mununjukkan darjat dan ketinggian Rasulullah SAW di sisi Allah serta menjadi tanda kebesaran dan kenabian Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah.  Menurut Al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, adalah menganjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda. Hari kelahiran Baginda adalah ‘Hari Kebesaran Islam' dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Qatadah an-Ansari meriwayatkan "Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: "Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku." (Hadis riwayat Muslim).



Comments (0)