TANDA-TANDA KENABIAN SELEPAS KELAHIRAN RASULULLAH
Tanda-tanda kenabian Rasulullah juga
terserlah ketika baginda sudah semakin membesar. Rasulullah s.a.w sendiri
mengakui bahawa Baginda merupakan Rasul utusan Allah. Diriwayatkan oleh Abu
Umamah bahawa satu ketika Rasulullah SAW ditanya:
“Ya Rasulullah, apa statusmu?” Nabi
menjawab, “Aku adalah jawapan atas doa bapaku, Ibrahim, serta pelengkap
kenabian Isa. Ibuku juga bermimpi bahawa seberkas sinar akan muncul dari ibuku
yang menerangi istana-istana Syria.”
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami!
Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, Yang akan
membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati
dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana". ( Al-Baqarah: 129 )
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa)
ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku
ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan
sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan
seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka
ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata,
mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!" ( as-Shaff: 6 )
Tanda
kenabian Nabi Muhammad juga dapat dilihat apabila ibu susuan Nabi iaitu, Halimahtus
Saa’diah telah mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah disebabkan
beliau telah menyusukan Nabi Muhammad SAW. Seperti yang kita sedia maklum, nabi
Muhamad telah disusui oleh ibunya hanya selama tiga hari. Kemudian nabi
diserahkan oleh ibu Baginda kepada dua orang wanita iaitu Suwaibah dan Halimah
untuk disusukan. Suwaibah yang juga merupakan hamba kepada Abu Lahab telah
menyusukan Nabi Muhammad sebelum empat bulan. Sementara itu, nabi juga telah
disusukan oleh oleh Halimah yang merupakan puteri Abi Zuwaib daripada suku
Sa’ad bin Hazawan.
Menjadi
suatu kebiasaan bagi keluarga Arab bangsawan untuk menyerahkan anak-anak mereka
kepada wanita penyusu dengan kabilah- kabilah badawi dari luar Mekah.
Orang-orang badawi pula menjadikan hal ini sebagai sumber mata pencarian mereka.
Namun, mereka tidak menetapkan sebarang upah, kerana mereka berpendapat, perempuan
yang menetapkan upah dari susunya sebagai satu perkara yang aib. Oleh itu, mereka
hanya menerima hadiah sagu hati sebagai ganjaran menyusu.
Kebiasaannya, ibu susuan yang diambil kebanyakkannya
terdiri daripada golongan orang-orang badawi yang tinggal di luar kota. Oleh
itu, anak-anak susuan ini akan dapat
membesar di kawasan gurun yang segar serta dapat membesar dengan sihat.
Sekiranya anak-anak mereka dihantar ke luar kota Mekah, mereka tidak akan mudah
terkena penyakit.
Biasanya mereka menghantar anak-anak
mereka menyusu dengan kabilah- kabilah badawi dari luar Mekah. Orang-orang
badawi pula menjadikan hal ini sumber untuk mereka mendapat mata pencarian.
Walaupun begitu mereka tidak menetapkan upah, hanya mereka menerima hadiah sagu
hati setelah selesai nanti. Bagi mereka perempuan yang menetapkan upah
dari susunya dianggap satu perkara yang Aib.
Empat bulan selepas kelahiran Nabi, Ibu-ibu
susu dari Bani Saad datang ke Mekah. Salah seorang daripada mereka ialah
Halimatus Saa’diah yang datang bersama suaminya Harith untuk mencari anak-anak
susuan. Pada tahun itu, mereka sedang mengalami kemarau yang sangat teruk
hingga sangat memerlukan pertolongan keluarga bangsawan. Tambahan pula, Halimah
dan keluarganya ketika itu sangat miskin. Malah, mereka mempunyai seorang anak
yang masih menyusu. Oleh itu, mereka ingin mencari seorang anak dari kaum Quraisy
untuk disusukan bersama dengan anak mereka. Halimah yang terlalu miskin dan
kurang mendapat makanan hampir ketiadaan susu, untuk anaknya sorang pun tak
cukup. Namun begitu, disebabkan kerana ini merupakan satu mata pencarian
mereka, maka, Halimah datang juga dengan ibu-ibu susu yang lain.
Ketika datang dari bani Saad, Halimah menaiki
himar yang tidak lagi mampu berjalan, malah, selalu melambatkan rombongan itu. Setibanya
di Mekah, masing masing mencari anak susuan. Pada saat itulah, bonda Rasulullah
SAW, Siti Aminah telah menawarkan kepada Halimah untuk menyusukan anakandanya
Baginda Rasulullah SAW. Halimah pada mulanya menolak apabila mengetahui dia
anak yatim. Namun, sampai akhirnya Halimah tidak berjaya mendapatkan anak susuan
lain. Ketika rombongan ingin berangkat pulang, Halimah masih belum menemukan
anak susuan lagi. Oleh itu, Halimah telah meminta izin dari suaminya untuk
mengambil Rasulullah SAW sebagai anak susuannya, semoga mereka mendapat
keberkatan dari anak yatim ini. Begitulah Halimah memujuk suaminya. Akhirnya
suaminya bersetuju dan mereka datang mengambil Rasulullah dari bondanya Siti
Aminah.
Sejak itu kehidupan Halimatus Saadiah
mula mendapat keberkatan demi keberkatan. Antaranya ialah, himarnya yang sudah
uzur dan tidak mampu berjalan ketika datang dahulu kini menjadi himar yang
paling pantas dan sentiasa berada di depan kafilah ini. Seluruh rombongan itu
terkejut melihat himar Halimatus Saadiah.
Kemudian, susu Halimah yang hampir kering
tadi kini menjadi semakin banyak, malah cukup untuk anaknya dan cukup untuk
Rasulullah sampai kenyang. Setibanya di Bani Saad, unta ternakan Halimah yang
sudah tua juga menjadi sihat serta menghasilkan susu. Kambing-kambing Halimah pula
menjadi sihat, gemuk serta membiak dengan cepat. Hairannya, perkara ini hanya
berlaku kepada binatang peliharaan keluarga Halimah sahaja, tidak kepada
binatang-binatang ternakan orang lain. Melihat kejadian itu, mereka juga mengikut
Halimah menternak binatang ternakan mereka disitu. Tetapi, kambing mereka tidak
menjadi seperti kambing Halimatus Saadiah. Hal ini kerana, mereka tidak memiliki
barakah Rasulullah SAW seperti mana yang ada pada Halimah.
Sementara itu, kehidupan Halimah juga menjadi
bertambah baik. Ketika Rasulullah
berumur dua tahun, Halimah mendapati proses pembesaran Rasululah SAW amat berbeza
berbanding kanak-kanak lain. Hal ini kerana, sewaktu berumur dua tahun,
kematangannya sudah menyerupai kanak-kanak yang berumur enam tahun. Tambahan
lagi, waktu itu Rasulullah SAW sudah fasih bercakap.
Nabi Muhammad telah tinggal bersama suku
Bani Saad selama lima tahun dan membesar dengan sihat. Sepanjang tempoh itu,
lebih kurang dua atau tiga kali halimah membawa Baginda SAW menemui ibunya.
Kali pertama adalah ketika genap
dua tahun, dan tibalah masanya Halimah menyerahkan kembali Rasulullah SAW
kepada ibu kandungnya Siti Aminah. Siti Aminah juga sudah rindu dengan anaknya,
Muhammad. Namun selepas itu, Halimah pula yang meminta kepada Siti Aminah untuk
membawa pulang semula Rasulullah ke perkampungan Bani Saad. Akhirnya Siti
Aminah setuju dan Rasulullah dibawa pulang semula ke Bani Saad.
Kali
kedua pula, Halimah membawa Muhammad SAW ke Makkah bertepatan dengan datangnya
sekumpulan pendeta Ethopia (Habsyah) di Hijaz. Mereka melihat anak itu dan
mendapati semua tanda kenabian yang akan datang sesudah Nabi Isa AS sebagaimana
yang disebutkan dalam kitab-kitab suci ada pada anak itu. Oleh itu, mereka
memutuskan untuk menguasai anak itu walau apa cara sekali pun dan akan membawa
nabi ke Habsyah supaya negeri itu memperoleh kehormatan mempunyai Nabi.
Aminah juga menceritakan pada suatu hari
ketika nabi Muhammad bersama kanak-kanak yang lain sedang mengembala kambing,
tiba-tiba datang datang tiga orang lelaki yang membawa pisau yang berkilat
diperbuat daripada emas dan juga air. Mereka membawa Nabi Muhammad SAW pergi
dan kanak-kanak lain lari kerana ketakutan. Imam Muslim menceritakan dalam
hadisnya, datang dua orang malaikat mengambil Rasulullah, dibaringkan dan dibelah
dada baginda Rasulullah. Kemudian dikeluarkan hatinya dan dibasuh dengan
air zam-zam serta dibuang noda-noda hitam dan tempat syaitan dari hati
Rasulullah SAW. Kemudian hati Rasululah dipenuhkan dengan hikmah. Saudara
susunya yang ketakutan melihat hal itu melaporkan kepada Halimah bahawa ada dua
orang berpakaian putih sedang menyakiti Rasulullah. Halimah berkejar ke tempat
Rasululah bermain dan didapatinya Rasululah ketika itu dalam keadaan ketakutan
manakala kesan pembedahan masih ada di dada baginda.
Kata Saidina Anas bin Malik yang
merawikan hadis ini, aku pernah melihat kesan jahitan di dada Rasulullah.
Inilah salah satu mukjizat Rasulullah. Halimah ketakutan dengan kejadian itu.
Dia takut berlaku sesuatu yang tak baik kepada Rasulullah SAW. Justeru itu dia
mahu memulangkan semula Rasulullah kepada Siti Aminah. Halimah takut Rasululah
digangu oleh jin.
Siti Aminah merasa pelik, baru saja
Halimah beriya-riya memujuknya untuk membawa Rasulullah pulang ke Bani Saad.
Tiba-tiba Halimah datang menyerahkan Rasululah SAW semula. Tentu ada sesuatu
yang berlaku. Setelah didesak oleh Siti Aminah barulah Halimah menceritakan apa
yang berlaku kepada Rasulullah. Siti Aminah bertanya: “apakah kamu takut
Rasulullah diganggu oleh jin sambil Siti Aminah memberitahu mereka, jangan
takut, tidak akan berlaku sesuatu yang tak baik pada diri Rasulullah.
Cerita Siti Aminah lagi, di saat-saat sebelum aku melahirkan Rasulullah aku
bermimpi ada seorang datang menyuruh aku berdoa :
“Aku berlindung dengan Allah yang Esa ke
atas anak ini dari kejahatan semua orang yang hasad dengki.” Siti Aminah
menyambung, aku yakin tak akan berlaku perkara buruk padanya. Setelah
menenangkan Halimah Siti Aminah meminta Halimah membawa semula Rasulullah
pulang bersamanya ke Bani Saad.
Nabi Muhammad juga dipelihara oleh
Allah sejak kecil daripada terlibat dengan adat kebiasaan kaum Quraisy
ketika itu yang sering menghadiri majlis tari-menari dan nyanyian agar dapat
menjaga keperibadian Rasulullah SAW. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad SAW pergi
mengembala diluar Mekah, baginda mendengar suara dimana sebuah majlis kenduri
kendara diadakan. Bagi menghadiri majlis tersebut Nabi Muhammad telah meminta
kawannya untuk menjaga kambingnya buat sementara. Namun apabila Nabi Muhammad
berada dalam majlis tersebut, baginda
berasa mengantuk lalu tertidur di majlis tersebut sehingga keesokan harinya.
Esoknya Nabi Muhammad pergi lagi ke majlis kenduri, namun perkara yang sama
juga berlaku.
Nabi Muhammad merupakan seorang yang
berperibadi mulia. Ketika baginda tinggal di rumah bapa saudaranya, baginda
tidak pernah berebut makanan dengan anak-anak Abu Talib. Malah, kadang-kadang
makanan tidak mencukupi dan nabi tidak
dapat makan dan tidur dalam keadaan lapar. Apabila Abu Talib menyedari hal
tersebut, beliau telah mengkhususkan bahagian tertentu untuk Nabi Muhammad. (Prof.
Madya Dr.Zulkifli Mohd Yusuf, 2004)
Selain itu, sejak kecil lagi Nabi
Muhammad tidak pernah bercakap bohong. Disebabkan sifat Rasulullah yang
sentiasa bercakap benar inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad digelar dengan
panggilan al-amin iaitu yang jujur dan yang benar.
Di samping itu, kenabian nabi Muhammad
juga turut diakui oleh seorang paderi bernama Buhaira. Ketika Nabi Muhammad
berusia 12 tahun, baginda telah mengikuti rombongan perniagaan bersama bapa
saudara baginda, Abu Talib. Ibnu Ishaq menceritakan bahawa Abu Talib telah
pergi bersama sekolompok kalifah ke Syria. Sewaktu beliau ingin berangkat, Nabi
berdiri dan memegang tali leher unta betinanya dan berkata, “Wahai Pak Cik,
kepada siapakah akan engkau serahkan pemeliharaanku, sebab aku tidak lagi
memiliki bapa mahupun ibu,”
Abu talib merasa sayang kepadanya lalu berkata:
“Demi Allah, akan aku bawa dia ( Nabi Muhammad ) bersamaku dan kami tidak akan
berpisah antara satu sama lain.
Oleh itu, Abu Talib telah membawa Nabi
bersamanya. Ketika kafilah sampai di Bushra, wilayah Syria, mereka telah
behenti berehat behampiran dengan sebuah rumah ibadat Kristian. Ketika itu ketua
paderi rumah ibadat tersebut bernama Jarjis atau lebih dikenali sebagai Buhaira.
Dia merupakan seorang Kristian yang berpengetahuan luas. Mereka sering melewati
biaranya, namun Buhaira tidak pernah menegur mereka. Beliau hanya memerhati
rombongan itu dari jauh. Dia menjadi hairan kerana terdapat gumpalan awan putih
yang menaungi dan mengiringi perjalanan mereka. Apabila kafilah itu
beristirehat di bawah sebatang pokok berdekatan biara, Buhaira melihat awan
putih bergerak hingga menaungi pohon tersebut. Melihat akan peristiwa tersebut,
Buhaira lantas memerintahkan orang-orangnya menyediakan makanan yang banyak dan
menjemput semua anggota kafilah ini untuk makan di tempatnya seraya berkata,
“Wahai orang-oarang Quraisy, aku telah menyajikan makanan buat kamu sekalian.
Aku mengundang kamu semua termasuklah tua dan muda, kanak-kanak mahupun
orang-orang merdeka.”
Semua ahli rombongan pergi melainkan Nabi
Muhammad sahaja kerana beliau yang paling muda dalam rombongan itu. Muhammad
ditinggalkan untuk menjaga barang-barang mereka. Buhaira meneliti setiap orang
yang hadir, namun dia tidak menemukan sesiapa pun yang memiliki ciri-ciri
keistimewaan yang dicarinya. Jadi dia bertanya kepada rombongan tersebut,
“Adakah di anatara kalian yang tidak menghadiri jamuanku?” Mereka menjawab, “
Tidak seorang pun yang datang tidak menghadiri jamuan ini kecuali seorang
pemuda, yang paling muda di antara kami. Dia tetap menjaga kafilah.”
Buhaira menyuruh anak muda yang ditinggalkan
itu diajak bersama ke jamuan tersebut. Apabila Buhaira melihat Nabi Muhammad
saw, dia dapat merasakan suatu perkara yang luar biasa pada Baginda. Dia
memeriksa Baginda dan mencari tanda-tanda yang diketahuinya pada tubuh Nabi
muhammad. Setelah semua anggota rombongan selesai dan bersurai, Buhaira
mendekati Nabi Muhammad dan berbual dengan baginda. Dai bertanya kepada baginda
mengenai beberapa soalan. Menjadi kebiasaan orang Arab ketika itu bersumpah di
atas nama al-Latta dan al-Uzza. Mendengarkan dua orang dari kalifah tersebut
melakukannya, Buhaira turut menggunakan sumpah ini ketika bertanya Muhammad
biarpun dia sendiri tidak beriman dengannya. Nabi menjawab, “Jangan memohon
padaku demi al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang aku hinakan melebihi
mereka.” Sememangnya Nabi Muhammad dipelihara oleh Allah sejak dilahirkan.
Baginda tidak pernah menyembah berhala walaupun ia merupakan amalan keluarga
dan kaumnya ketika itu. Akhirnya Buhaira berkata, “Aku memohon demi Allah agar
engkau memberitahukan persoalan-persoalan yang hendak aku tanyakan kepadamu.”
Nabi membalas, “Tanyalah apa sahaja yang engkau inginkan.”
Maka, Buhaira mula bertanya
perkara-perkara berkenaan Nabi seperti tidurnya, penampilannya serta beberapa
soalan lain. Jawapan yang diberikan baginda semuanya bertepatan dengan sangkaan
Buhaira. Di akhirnya, Buhaira meminta izin untuk melihat belakang Nabi
Muhammad. Sahlah telahan Buhaira, terdapat tanda Khatamun Nubuwwah pada
belakang Muhammad. Khatamun Nubuwwah ialah tanda yang menunjukkan beliau
merupakan seorang nabi. Tanda itu terletak pada belakang badan Rasulullah.
Berdasarkan As-Syamail Al-Muhammadiyah (Imam Tirmizi, 2013), Jabir bin Samurah
berkata: “Aku pernah melihat tanda kenabian yang ada di antara kedua-dua bahu
Rasulullah, iaitu benjolan daging yang berwarna merah sebesar telur burung
merpati.” (Direkodkan oleh Muslim, Ahmad, at-Thabarani dan Tirmizi) Setelah itu
bertanya pula Buhaira kepada Abu Talib, “Apakah ikatan kamu dengan anak ini?”
Abu Talib berkata, “Ini anak saya.”
Buhaira berkata, “Tidak sepatutnya
ayahnya masih hidup.”
Abu Talib membalas, “Ya, benar, ayahnya
sudah meninggal dunia ketika ibunya mengandungkannya.”
Buhaira lantas menasihati Abu talib agar
membawa Nabi Muhammad pulang ke Mekah dengan segera. Sekiranya baginda dibawa
ke Syam, khuatir orang-orang Yahudi akan melihat dan mengenali Baginda dan
mereka pasti akan membunuhnya. Oleh itu, Abu Talib segera menyelesaikan urusan
perniagaannya dan segera kembali ke Mekah bersama Nabi. Menurut Prof. Madya
Dr.Zulkifli Mohd Yusuf, Abu Talib mengupah orang menghantar Nabi Muhammad ke
Mekah sementara dia terus ke Syam menjalankan perniagaan.
Ini menunjukkan bahawa, kenabian nabi
Muhammad turut diakui oleh orang yang bukan beragama Islam. Ini dapat
dibuktikan dengan kata-kata Buhaira;
“Ketika kalian turun dari bukit, seluruh
batu dan pohon bersujud. Batu dan pohon tidak akan bersujud kecuali pada
seorang nabi. Saya pun mengenalnya melalui tanda kenabian yang terletak di
bawah tulang pundaknya. Bentuknya seperti buah epal dan kami mengetahui tanda
tersebut dari kitab suci.”
Selain itu tanda kenabian Rasulullah
juga turut dapat dikesan oleh seorang paderi Nasrani bernama Mastura ketika
Nabi pergi berniaga di negeri Syam pada umur 20 tahun. Siti Khadijah binti
Khuwaidlid adalah seorang wanita bangsawan yang kaya daripada bani Assad keturunan
suku Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab. Kekayaannya hingga menyamai perniagaan
semua orang Quraisy yang lain. Apabila beliau mendengar berita mengenai Nabi
Muhammad yang mempunyai sifat yang jujur serta peribadi yang mulia, beliau
telah menawarkan kepada bagida untuk menguruskan perniagaannya ke negeri Syam.
Setelah Nabi Muhammad bersetuju, baginda telah berangkat ke Syam membawa
barang-barang dagangan Siti Khadijah.
Miasarah iaitu salah seorang pekerja Siti
Khadijah yang turut serta dalam rombongan tersebut merasa sangat kagum dan
tertarik dengan peribadi nabi Muhammad. Sepanjang perjalanan Nabi Muhammad
sentiasa melayaninya dengan baik, mesra dan lemah lembut. Selepas itu, Maisarah
melihat peristiwa yang lebih aneh lagi dimana awan sentiasa menaungi mereka
daripada cahaya matahari sepanjang perjalanan mereka. Setelah penat berjalan,
rombongan yang bersama Nabi Muhammad telah berhenti seketika di tempat rehat
sebelum masuk ke Syam berdekatan dengan ruma ibadat paderi yang pernah
didatangi oleh Nabi Muhammad bersama Abu Talib satu ketika dahulu. Pada waktu
tu Buhaira sudah tidak ada lagi. Dia sudah meninggal dunia dan digantikan
dengan seorang paderi yang lain. Seperti Buhaira, paderi itu juga menyedari
bahawa terdapat awan yang sentiasa mengiringi perjalanan Muhammad dan Maisarah.
Muhammad tidak behenti di tempat rombongan lain biasa berhenti, tetapi baginda
berhenti di bawah sebatang pokok tidak jauh dari situ. Tidak ada orang lain
yang berhenti disitu selain mereka. Paderi itu hairan melihat dahan dan
ranting-ranting pokok itu bergerak menaungi Nabi Muhammad daripada cahaya
matahari.
Disebabkan rasa ingin tahu, paderi
tersebut datang bertemu dengan Maisarahdan bertanyakan pelbagai soalan. Paderi
itu juga menunjukkan kepada Miasarah pokok yang menjadi tempat berteduh Nabi
Muhammad. Paderi itu berkata, “Hanya seorang nabi sahaja yang berteduh di bawah
pokok ini.”
Mendengarkan hal itu, Maisarah betambah
hairan. Berbagai-bagai perkara ajaib yang telah disaksikan oleh Maisarah
sepanjang perjalanannya bersama Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang indah
akhlaknya, kasih sayangnya, kemampuannya berhadapan dengan pelbagai lapisan
orang, belas kasihannya kepada orang-orang miskin serta kejujurannya
menyebabkan semua orang tertarik dan datang kepadanya. (Prof. Madya Dr.Zulkifli
Mohd Yusuf, 2004)
Selain itu, tanda kenabian nabi Muhammad juga
terlihat apabila Abu Talib memohon hujan dengan peribadi baginda dan
telah diperkenankan oleh Allah. Menurut kitab Rahiqul Makhtum, Ibn Asakir telah
meriwayatkan daripada Jalhamah bin Arfatah, katanya: Aku pernah pergi ke Mekah
di saat penduduknya sedang menghadapi kemarau. Lalu berkatalah orang-orang
Quraisy: Hai Abu Talib, lembah ini telah gersang, dan anak pinak kita
kekurangan makanan. Marilah kita berdoa meminta hujan. Kemudian Abu Talib
keluar dengan membawa seorang budak bersama-samanya. Budak itu seolah-oleh mentari
yang dikelilingi awan-awan , lalu kelihatan jelas dari awan-awan itu awan
mendung yang membawa kebaikan yang banyak. Di keliling budak itu terdapat ramai
kanak-kanak. Lalu Abu talib mengangkat budak itu dan menyandarkan belakangnya
ke Ka’bah serta mendekapkan jari-jemari ke tubuh budak itu. Ketika langit
kosong dan tiada awan kecil, tiba-tiba datang awan mendung dari pelbagai arah
dan mula menitis dan mencurah-curah. Lembah mekah mula menerbitkan air dan
menyuburkan bumi di serata tempat. Abu Talib menyebut peristiwa ini dalam
syairnya:
Si putih yang diminta hujan dengan berkat
wajahnya,
Ketua anak-anak yatim dan pelindung
balu-balu
Selain itu, tanda kenabian Baginda juga dapat
dilihat ketika Nabi Muhammad menerima wahyu di Gua Hira’. Nabi Muhammad SAW
telah menerima wahyu pada umur Baginda 40 tahun. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW
berada di Gua Hira’ yang terletak di atas Bukit Nur yang terletak kira-kira dua
batu dari Mekah. Di sana Nabi telah menghabiskan masa dengan beribadat serta
berfikir tentang alam sekeliling serta kekuasaan yang mengadakannya. Baginda
sama sekali tidak yakin dengan pegangan kaumnya yang mengamalkan amalan syirik
yang tidak jelas gambarannya. Baginda sering kali bertanya kepada bapa saudara
Baginda sendiri iaitu Abu Talib, mengapa penduduk Mekah menyembah berhala sedangkan ia tidak
dapat melakukan apa-apa kecuali membisu dan diam. Nabi Muhammad SAW dapat merasakan
ada sesuatu yang lebih berkuasa dari berhala-berhala tersebut, lalu Baginda
sering termenung dan menyendiri di Gua Hira’. Aisyah r.a meriwayatkan;
“Sebelum kedatangan wahyu yang pertama, sering
dialami oleh Rasulullah SAW ialah mimpi-mimpi yang benar (ar-ru’yah
ash-shadiqah). Apa yang sering terlihat dalam mimpi selalu terbukti
kebenarannya secara nyata, seterang cahaya pagi. Setelah itu Baginda terdorong
untuk berkhalwat (menyepi atau menjauhkan diri dari segala kesibukan) di Gua
Hira’. Di sana Baginda beribadah selama beberapa malam, kemudian pulang pada keluarga
untuk mengambil bekalan dan melanjutkan khalwat yang berikutnya.”
Begitulah keadaan Rasulullah sehingga datangnya
‘Al-Haq’ (Kedatangan yang Mutlak), iaitu kedatangan malaikat Jibril untuk
menyampaikan wahyu yang pertama di dalam surah Al-Alaq. Berdasarkan kitab
Ar-Rahiq Al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah SAW), Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa;
“Permulaan wahyu yang diturunkan kepada
Rasulullah SAW ialah mimpi-mimpi yang baik semasa tidur. Baginda tidak bermimpi
melainkan mimpi yang sangat jelas sejelas suria. Kemudian timbul keinginan
Baginda untuk bersendirian. Lalu Baginda bersendirian di Gua Hira’, beribadat
di dalamnya beberapa malam sebelum kembali kepada isterinya mengambil bekal.
Setelah habis bekal, Baginda kembali semula kepada Khadijah dan mengambil bekal
semula seperti sebelumnya. Ahirnya datanglah kebenaran kepadanya ketika Baginda
sedang berada di dalam Gua Hira’. Seorang malaikat datang kepadanya dan
berkata: “Bacalah”. Aku (Rasulullah) menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Kata
Baginda:lalu jibril memelukku sehingga aku merasa sangat sesak, kemudian
dilepaskannya aku sambil berkata: “Bacalah.” Aku (Rasulullah) menjawab: “Aku
tidak tahu membaca.” Lalu dipeluknya aku kali ketiga kemudian dilepaskannya,
seraya berkata:
Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama
Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku
darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (Surah Al-Alaq: 1-3)
Lalu
Rasulullah SAW pulang dengan perasaan yang gementar sehingga apabila sampai
kepada Khadijah, Baginda berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku. Lalu Baginda
diselimuti hingga hilang keresahannya. Baginda berkata kepada Khadijah: Apa
yang terjadi padaku? Lalu diceritakan peristiwa itu kepada Khadijah. Aku
bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepadaku. Lantas Khadijah menyahut :
Tidak sekali-kali demi Allah, Dia tidak sekali-kali akan memeprsiakan kamu ,
kerana engkau orang yang suka menghubungkan tali persaudaraan, menanggung
bebanan orang yang susah, menolong orang kafir, memuliakan tetamu dan engkau
selalu membantu sebarang perkara kebaikan. Kemudian Khadijah membawanya pergi
berjumpa Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu bapa saudara
Khadijah.-Waraqah merupakan seorang yang menganut agama Nasrani semasa
jahiliah, menulis kitab dalam bahasa Ibrani; banyak kandunagn kitab Injil yang
ditulisnya sebanyak yang dikehendaki Allah dan beliau ialah seorang yang yang
telah tua dan buta pula-. Lalu Khadijah berkata kepadanya: “Hai bapa saudaraku,
dengarkan apa yang anak saudaramu akan ceritakan.” Waraqah berkata kepada
Rasulullah: “Hai anak saudaraku, apa yang engkau lihat?” Baginda pun
memberitahu apa yang dilihatnya kepada Waraqah. Kemudian Waraqah berkata:
“Itulah Namus yang diturunkan oleh Allah kepada Musa. Alangkah baiknya kalau
aku masih muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.”
Lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah mereka akan mengusirku?” Jawab Waraqah:
“Betul, tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa
melainkan ia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau
mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan sungguh-sungguh.” Tidak lama
selepas itu Waraqah meningal dunia dan wahyu terhenti.”
Waraqah juga ada berkata,” Wahai
Khadijah! Percayalah, demi Waraqah yang berada dalam tangan-Nya, bahawa yang
datang menemui suamimu (Muhammad) itu adalah Malaikat Jibril yang membawa
wahyu, percayalah bahawa suamimu adalah seorang rasul.” Peristiwa ini cukup jelas membuktikan bahawa kenabian Rasulullah
sememangnya diketahui dan diakui oleh ahli-ahli agamawan.
Al-Bukhary
meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW
menceritakan tentang tempoh terhentinya wahyu dengan sabdanya:
“Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit. Aku
pun mendongak pandangan ke arah langit. Tiba-tiba aku dapati Jibril yang pernah
datang kepadaku di Gua Hira’ duduk di atas kerusi antara langit dan bumi. Lalu
aku pun duduk berlutut sehingga rebah ke bumi. Kemudian aku datang kepada
isteriku dan berkata: selimutkan aku, selimutkan aku. Mereka pun menyelimuti
aku. Lalu Allah menurunkan firmanNya:
Wahai orang Yang berselimut! Bangunlah
serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka
ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau
bersihkan. Dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi. (Surah
Al-Muddaththir: 1-5)