RUMUSAN: TANDA-TANDA KENABIAN


Melalui tanda-tanda kenabian tersebut, terbuktilah bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan seorang Nabi utusan Allah yang menunjukan jalan kebenaran kepada kita semua. Allah memberikan tanda-tanda tersebut kepada Nabi Muhammad bagi menunjukkan dan membuktikan bahawa Baginda bukan seorang manusia biasa seperti kita, sebaliknya adalah kekasih Allah di mana Allah meletakkan darjat Baginda Rasulullah SAW lebih tinggi dari nabi-nabi dan rasul-Nya yang lain. Melalui tanda-tanda yang dipamerkan oleh Allah pada Nabi Muhammad SAW, tidak ada siapa yang dapat menyangkal bahawa Baginda merupakan Rasul utusan-Nya.

Dengan tanda-tanda kenabian yang yang ada pada diri Rasulullah ini, ia dapat membantu menambahkan iman dan kepercayaan kita terhadap Rasulullah sebagai Rasul utusan Allah. Apabila kita melihat peristiwa-peristiwa ajaib sejak dari sebelum kelahiran baginda Rasulullah, semasa dan selepas kelahiran hinggalah kewafatan baginda, kita akan bertambah yakin kepada Rasulullah. Tanda kenabian Rasulullah dapat dilihat sebelum kelahiran Rasulullah lagi. Hal ini kerana Allah SWT telah menciptakan Nur Rasulullah SAW sebelum kelahiran Rasululah lagi. Bahkan Allah telah memberikan kenabian kepada roh Nabi Muhammad SAW sebelum penciptaan Nabi Adam. Nur Nabi Muhammad SAW berpindah-pindah daripada nabi-nabi yang sebelumnya, kepada ayahanda Rasulullah, Abdullah, kepada ibundanya, Aminah dan akhirnya kepada diri Rasulullah sendiri selepas baginda dilahirkan.

Sehubungan itu, kita sebagai umat nabi Muhammad hendaklah mengambil pengajaran daripada peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini. Akhlak Rasulullah yang mulia, tidak pernah bercakap bohong, sentiasa menegakkan kebenaran, suka membantu orang lain walaupun yang bukan beragama Islam juga menjadi satu daripada tanda kenabian Baginda Rasulullah SAW. Firman Allah dalam Al-Quran; “Sesungguhnya Rasulullah SAW, bagi kalian adalah suri tauladan yang paling baik.” Oleh itu, sebagai umat Nabi Muhammad, kita spatutnya mencontohi peribadi dan sifat-sifat mulia Rasulullah dalam kehidupan kita.

Sehubungan dengan itu, kita hendaklah beriman dan percaya bahawa Nabi Muhamad adalah utusan Allah yang terakhir dan tiada lagi nabi yang lain setelah baginda. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur kerana berpeluang menjadi umat nabi Muhammad yang akan mendapat syafaat baginda di hari akhirat kelak. Malah, Baginda Muhammad SAW juga sangat menyayangi kita umatnya hinggalah ke saat-saat terakhir kewafatan Baginda. Bagi membalas cinta Rasulullah SAW, kita hendaklah sentiasa mengamalkan segala pesanan Rasulullah. Insya-Allah, sekiranya kita berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah serta mengamalkannya pasti kita akan bersama-sama dengan Rasulullah di syurga. “Aku mewariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan Sunnahku. Barang siapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku.” (khutbah akhir baginda Rasulullah SAW)

Di samping itu, tanda-tanda kenabian ini juga boleh kita dijadikan hujah bagi membidas tuduhan-tuduhan tidak berasas daripada pihak orentalis yang sering ingin menidakkan kenabian Rasulullah SAW sebagai utusan Allah yang terakhir. Malah, ada di antara mereka menuduh yang bukan-bukan berkenaan sifat dan peribadi Rasulullah. Cacian dan tuduhan mereka ini tidak seharusnya kita balas dengan cacian, sebaliknya kita menggunakan tanda-tanda kenabian Baginda sebagai hujah yang kukuh bagi membuktikan bahawa nabi Muhammad merupakan utusan Allah dengan cara yang penuh diplomasi agar dapat meyakinkan mereka sekaligus dapat menyedarkan mereka dan menarik mereka kepada Agama Allah.

Kesimpulannya, di sebalik tanda-tanda kenabian yang ditunjukkan oleh Allah pada diri Nabi Muhammad SAW, terdapat banyak hikmah dan pengajaran yang ingin Allah tunjukkan kepada manusia agar menyedari dan meyakini kenabian Rasulullah SAW sebagai utusan-Nya. 




BIBLIOGRAFI

Abdul Hamid Judah As-Sahhar (1991) : Sejarah Rasulullah S.A.W. : Penerbitan Kintan
Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Abdul Razzak Naufal (1969) : Nabi Muhammad S.A.W. : Pustaka Nasional Pte Ltd,
Singapura.

Abu Ali al-Fadhl Ibn Hasan Ibn al-Fadhl Ath-Thabrisi. (2004). Kenalilah Kebenaran Dari
Ahlinya: Ringkasan Sejarah nabi Muhammad SAW & Putrinya Fatimah az-Zahra, Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd.

Abu Mazaya Al-Hafiz. (2008). Sejarah Lengkap Nabi  & Rasul Dalam Al-Quran, Kuala
Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthy. (2005). Sirah Nabawiyyah: Kajian Mendalam
Manhaj Gerakan Islam Pada Masa Rasulullah, Shah Alam, Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.

H.M. Yunan Nasution (1984) : Muhammad Rasulullah : Dewan Dakwah Islamiyah
Indonesia.

Imam Tirmizi. (2013). As-Syamail Al-Muhammadiyah: Keanggunanmu Ya Rasulullah,
Selangor: Pts islamika Sdn Bhd.  

Muhammad Ramzi Omar (2004) : Sirah Nabawiyyah S.A.W. : Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur.

Mustafa al-Saqa, Ibrahim al-Abyari, Abu Hafiz Syalabi. (2006). Sirah Nabawiyyah Ibnu
Hisyam: Jilid 1, Shah Alam, Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.

Qishash-Al-Anbiya’ Ibratun Li-Ulil Albab, Abul Fidaa’ Ismail Bin Kathir Al-Quraisy    
(Ibnu Kathir) (2008): Kisah Para Nabi Pengajaran Dan Iktibar : Nadi Minda
Resources, Selangor.

Rusydi Ramli Al-Jauhari. (2012). Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam,
Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.

Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri. (2010). Al-Rahiq Al-Makhtum: Sirah Nabwiyyah
S.A.W, Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.


Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman (2007) : Biografi Muhammad Bin
Abdullah : PTS Islamika Sdn. Bhd., Selangor.



TANDA-TANDA KENABIAN SELEPAS KELAHIRAN RASULULLAH


Tanda-tanda kenabian Rasulullah juga terserlah ketika baginda sudah semakin membesar. Rasulullah s.a.w sendiri mengakui bahawa Baginda merupakan Rasul utusan Allah. Diriwayatkan oleh Abu Umamah bahawa satu ketika Rasulullah SAW ditanya:

“Ya Rasulullah, apa statusmu?” Nabi menjawab, “Aku adalah jawapan atas doa bapaku, Ibrahim, serta pelengkap kenabian Isa. Ibuku juga bermimpi bahawa seberkas sinar akan muncul dari ibuku yang menerangi istana-istana Syria.”
   
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, Yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". ( Al-Baqarah: 129 )
   
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!" ( as-Shaff: 6 )

            Tanda kenabian Nabi Muhammad juga dapat dilihat apabila ibu susuan Nabi iaitu, Halimahtus Saa’diah telah mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah disebabkan beliau telah menyusukan Nabi Muhammad SAW. Seperti yang kita sedia maklum, nabi Muhamad telah disusui oleh ibunya hanya selama tiga hari. Kemudian nabi diserahkan oleh ibu Baginda kepada dua orang wanita iaitu Suwaibah dan Halimah untuk disusukan. Suwaibah yang juga merupakan hamba kepada Abu Lahab telah menyusukan Nabi Muhammad sebelum empat bulan. Sementara itu, nabi juga telah disusukan oleh oleh Halimah yang merupakan puteri Abi Zuwaib daripada suku Sa’ad bin Hazawan.

            Menjadi suatu kebiasaan bagi keluarga Arab bangsawan untuk menyerahkan anak-anak mereka kepada wanita penyusu dengan kabilah- kabilah badawi dari luar Mekah. Orang-orang badawi pula menjadikan hal ini sebagai sumber mata pencarian mereka. Namun, mereka tidak menetapkan sebarang upah, kerana mereka berpendapat, perempuan yang menetapkan upah dari susunya sebagai satu perkara yang aib. Oleh itu, mereka hanya menerima hadiah sagu hati sebagai ganjaran menyusu.

Kebiasaannya, ibu susuan yang diambil kebanyakkannya terdiri daripada golongan orang-orang badawi yang tinggal di luar kota. Oleh itu, anak-anak susuan ini akan  dapat membesar di kawasan gurun yang segar serta dapat membesar dengan sihat. Sekiranya anak-anak mereka dihantar ke luar kota Mekah, mereka tidak akan mudah terkena penyakit.

Biasanya mereka menghantar anak-anak mereka menyusu dengan kabilah- kabilah badawi dari luar Mekah. Orang-orang badawi pula menjadikan hal ini sumber untuk mereka mendapat mata pencarian. Walaupun begitu mereka tidak menetapkan upah, hanya mereka menerima hadiah sagu hati setelah selesai nanti. Bagi mereka perempuan yang menetapkan upah dari susunya dianggap satu perkara yang Aib.

Empat bulan selepas kelahiran Nabi, Ibu-ibu susu dari Bani Saad datang ke Mekah. Salah seorang daripada mereka ialah Halimatus Saa’diah yang datang bersama suaminya Harith untuk mencari anak-anak susuan. Pada tahun itu, mereka sedang mengalami kemarau yang sangat teruk hingga sangat memerlukan pertolongan keluarga bangsawan. Tambahan pula, Halimah dan keluarganya ketika itu sangat miskin. Malah, mereka mempunyai seorang anak yang masih menyusu. Oleh itu, mereka ingin mencari seorang anak dari kaum Quraisy untuk disusukan bersama dengan anak mereka. Halimah yang terlalu miskin dan kurang mendapat makanan hampir ketiadaan susu, untuk anaknya sorang pun tak cukup. Namun begitu, disebabkan kerana ini merupakan satu mata pencarian mereka, maka, Halimah datang juga dengan ibu-ibu susu yang lain.

Ketika datang dari bani Saad, Halimah menaiki himar yang tidak lagi mampu berjalan, malah, selalu melambatkan rombongan itu. Setibanya di Mekah, masing masing mencari anak susuan. Pada saat itulah, bonda Rasulullah SAW, Siti Aminah telah menawarkan kepada Halimah untuk menyusukan anakandanya Baginda Rasulullah SAW. Halimah pada mulanya menolak apabila mengetahui dia anak yatim. Namun, sampai akhirnya Halimah tidak berjaya mendapatkan anak susuan lain. Ketika rombongan ingin berangkat pulang, Halimah masih belum menemukan anak susuan lagi. Oleh itu, Halimah telah meminta izin dari suaminya untuk mengambil Rasulullah SAW sebagai anak susuannya, semoga mereka mendapat keberkatan dari anak yatim ini. Begitulah Halimah memujuk suaminya. Akhirnya suaminya bersetuju dan mereka datang mengambil Rasulullah dari bondanya Siti Aminah.

Sejak itu kehidupan Halimatus Saadiah mula mendapat keberkatan demi keberkatan. Antaranya ialah, himarnya yang sudah uzur dan tidak mampu berjalan ketika datang dahulu kini menjadi himar yang paling pantas dan sentiasa berada di depan kafilah ini. Seluruh rombongan itu terkejut melihat himar Halimatus Saadiah.

Kemudian, susu Halimah yang hampir kering tadi kini menjadi semakin banyak, malah cukup untuk anaknya dan cukup untuk Rasulullah sampai kenyang. Setibanya di Bani Saad, unta ternakan Halimah yang sudah tua juga menjadi sihat serta menghasilkan susu. Kambing-kambing Halimah pula menjadi sihat, gemuk serta membiak dengan cepat. Hairannya, perkara ini hanya berlaku kepada binatang peliharaan keluarga Halimah sahaja, tidak kepada binatang-binatang ternakan orang lain. Melihat kejadian itu, mereka juga mengikut Halimah menternak binatang ternakan mereka disitu. Tetapi, kambing mereka tidak menjadi seperti kambing Halimatus Saadiah. Hal ini kerana, mereka tidak memiliki barakah Rasulullah SAW seperti mana yang ada pada Halimah.

Sementara itu, kehidupan Halimah juga menjadi bertambah baik. Ketika  Rasulullah berumur dua tahun, Halimah mendapati proses pembesaran Rasululah SAW amat berbeza berbanding kanak-kanak lain. Hal ini kerana, sewaktu berumur dua tahun, kematangannya sudah menyerupai kanak-kanak yang berumur enam tahun. Tambahan lagi, waktu itu Rasulullah SAW sudah fasih bercakap.

Nabi Muhammad telah tinggal bersama suku Bani Saad selama lima tahun dan membesar dengan sihat. Sepanjang tempoh itu, lebih kurang dua atau tiga kali halimah membawa Baginda SAW menemui ibunya. Kali pertama adalah ketika genap dua tahun, dan tibalah masanya Halimah menyerahkan kembali Rasulullah SAW kepada ibu kandungnya Siti Aminah. Siti Aminah juga sudah rindu dengan anaknya, Muhammad. Namun selepas itu, Halimah pula yang meminta kepada Siti Aminah untuk membawa pulang semula Rasulullah ke perkampungan Bani Saad. Akhirnya Siti Aminah setuju dan Rasulullah dibawa pulang semula ke Bani Saad.

Kali kedua pula, Halimah membawa Muhammad SAW ke Makkah bertepatan dengan datangnya sekumpulan pendeta Ethopia (Habsyah) di Hijaz. Mereka melihat anak itu dan mendapati semua tanda kenabian yang akan datang sesudah Nabi Isa AS sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab suci ada pada anak itu. Oleh itu, mereka memutuskan untuk menguasai anak itu walau apa cara sekali pun dan akan membawa nabi ke Habsyah supaya negeri itu memperoleh kehormatan mempunyai Nabi.

Aminah juga menceritakan pada suatu hari ketika nabi Muhammad bersama kanak-kanak yang lain sedang mengembala kambing, tiba-tiba datang datang tiga orang lelaki yang membawa pisau yang berkilat diperbuat daripada emas dan juga air. Mereka membawa Nabi Muhammad SAW pergi dan kanak-kanak lain lari kerana ketakutan. Imam Muslim menceritakan dalam hadisnya, datang dua orang malaikat mengambil Rasulullah, dibaringkan dan dibelah dada baginda Rasulullah. Kemudian dikeluarkan hatinya dan dibasuh dengan air zam-zam serta dibuang noda-noda hitam dan tempat syaitan dari hati Rasulullah SAW. Kemudian hati Rasululah dipenuhkan dengan hikmah. Saudara susunya yang ketakutan melihat hal itu melaporkan kepada Halimah bahawa ada dua orang berpakaian putih sedang menyakiti Rasulullah. Halimah berkejar ke tempat Rasululah bermain dan didapatinya Rasululah ketika itu dalam keadaan ketakutan manakala kesan pembedahan masih ada di dada baginda. 

Kata Saidina Anas bin Malik yang merawikan hadis ini, aku pernah melihat kesan jahitan di dada Rasulullah. Inilah salah satu mukjizat Rasulullah. Halimah ketakutan dengan kejadian itu. Dia takut berlaku sesuatu yang tak baik kepada Rasulullah SAW. Justeru itu dia mahu memulangkan semula Rasulullah kepada Siti Aminah. Halimah takut Rasululah digangu oleh jin.

Siti Aminah merasa pelik, baru saja Halimah beriya-riya memujuknya untuk membawa Rasulullah pulang ke Bani Saad. Tiba-tiba Halimah datang menyerahkan Rasululah SAW semula. Tentu ada sesuatu yang berlaku. Setelah didesak oleh Siti Aminah barulah Halimah menceritakan apa yang berlaku kepada Rasulullah. Siti Aminah bertanya: “apakah kamu takut Rasulullah diganggu oleh jin sambil Siti Aminah memberitahu mereka, jangan takut, tidak akan berlaku sesuatu yang tak baik pada diri  Rasulullah. Cerita Siti Aminah lagi, di saat-saat sebelum aku melahirkan Rasulullah aku bermimpi ada seorang datang menyuruh aku berdoa :
“Aku berlindung dengan Allah yang Esa ke atas anak ini dari kejahatan semua orang yang hasad dengki.” Siti Aminah menyambung, aku yakin tak akan berlaku perkara buruk padanya. Setelah menenangkan Halimah Siti Aminah meminta Halimah membawa semula Rasulullah pulang bersamanya ke Bani Saad.

Nabi Muhammad juga dipelihara oleh Allah sejak kecil daripada terlibat dengan adat kebiasaan kaum Quraisy ketika itu yang sering menghadiri majlis tari-menari dan nyanyian agar dapat menjaga keperibadian Rasulullah SAW. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad SAW pergi mengembala diluar Mekah, baginda mendengar suara dimana sebuah majlis kenduri kendara diadakan. Bagi menghadiri majlis tersebut Nabi Muhammad telah meminta kawannya untuk menjaga kambingnya buat sementara. Namun apabila Nabi Muhammad berada dalam  majlis tersebut, baginda berasa mengantuk lalu tertidur di majlis tersebut sehingga keesokan harinya. Esoknya Nabi Muhammad pergi lagi ke majlis kenduri, namun perkara yang sama juga berlaku.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang berperibadi mulia. Ketika baginda tinggal di rumah bapa saudaranya, baginda tidak pernah berebut makanan dengan anak-anak Abu Talib. Malah, kadang-kadang makanan tidak mencukupi dan nabi  tidak dapat makan dan tidur dalam keadaan lapar. Apabila Abu Talib menyedari hal tersebut, beliau telah mengkhususkan bahagian tertentu untuk Nabi Muhammad. (Prof. Madya Dr.Zulkifli Mohd Yusuf, 2004)

Selain itu, sejak kecil lagi Nabi Muhammad tidak pernah bercakap bohong. Disebabkan sifat Rasulullah yang sentiasa bercakap benar inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad digelar dengan panggilan al-amin iaitu yang jujur dan yang benar.

Di samping itu, kenabian nabi Muhammad juga turut diakui oleh seorang paderi bernama Buhaira. Ketika Nabi Muhammad berusia 12 tahun, baginda telah mengikuti rombongan perniagaan bersama bapa saudara baginda, Abu Talib. Ibnu Ishaq menceritakan bahawa Abu Talib telah pergi bersama sekolompok kalifah ke Syria. Sewaktu beliau ingin berangkat, Nabi berdiri dan memegang tali leher unta betinanya dan berkata, “Wahai Pak Cik, kepada siapakah akan engkau serahkan pemeliharaanku, sebab aku tidak lagi memiliki bapa mahupun ibu,”

Abu talib merasa sayang kepadanya lalu berkata: “Demi Allah, akan aku bawa dia ( Nabi Muhammad ) bersamaku dan kami tidak akan berpisah antara satu sama lain.

Oleh itu, Abu Talib telah membawa Nabi bersamanya. Ketika kafilah sampai di Bushra, wilayah Syria, mereka telah behenti berehat behampiran dengan sebuah rumah ibadat Kristian. Ketika itu ketua paderi rumah ibadat tersebut bernama Jarjis atau lebih dikenali sebagai Buhaira. Dia merupakan seorang Kristian yang berpengetahuan luas. Mereka sering melewati biaranya, namun Buhaira tidak pernah menegur mereka. Beliau hanya memerhati rombongan itu dari jauh. Dia menjadi hairan kerana terdapat gumpalan awan putih yang menaungi dan mengiringi perjalanan mereka. Apabila kafilah itu beristirehat di bawah sebatang pokok berdekatan biara, Buhaira melihat awan putih bergerak hingga menaungi pohon tersebut. Melihat akan peristiwa tersebut, Buhaira lantas memerintahkan orang-orangnya menyediakan makanan yang banyak dan menjemput semua anggota kafilah ini untuk makan di tempatnya seraya berkata, “Wahai orang-oarang Quraisy, aku telah menyajikan makanan buat kamu sekalian. Aku mengundang kamu semua termasuklah tua dan muda, kanak-kanak mahupun orang-orang merdeka.”

Semua ahli rombongan pergi melainkan Nabi Muhammad sahaja kerana beliau yang paling muda dalam rombongan itu. Muhammad ditinggalkan untuk menjaga barang-barang mereka. Buhaira meneliti setiap orang yang hadir, namun dia tidak menemukan sesiapa pun yang memiliki ciri-ciri keistimewaan yang dicarinya. Jadi dia bertanya kepada rombongan tersebut, “Adakah di anatara kalian yang tidak menghadiri jamuanku?” Mereka menjawab, “ Tidak seorang pun yang datang tidak menghadiri jamuan ini kecuali seorang pemuda, yang paling muda di antara kami. Dia tetap menjaga kafilah.”

Buhaira menyuruh anak muda yang ditinggalkan itu diajak bersama ke jamuan tersebut. Apabila Buhaira melihat Nabi Muhammad saw, dia dapat merasakan suatu perkara yang luar biasa pada Baginda. Dia memeriksa Baginda dan mencari tanda-tanda yang diketahuinya pada tubuh Nabi muhammad. Setelah semua anggota rombongan selesai dan bersurai, Buhaira mendekati Nabi Muhammad dan berbual dengan baginda. Dai bertanya kepada baginda mengenai beberapa soalan. Menjadi kebiasaan orang Arab ketika itu bersumpah di atas nama al-Latta dan al-Uzza. Mendengarkan dua orang dari kalifah tersebut melakukannya, Buhaira turut menggunakan sumpah ini ketika bertanya Muhammad biarpun dia sendiri tidak beriman dengannya. Nabi menjawab, “Jangan memohon padaku demi al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang aku hinakan melebihi mereka.” Sememangnya Nabi Muhammad dipelihara oleh Allah sejak dilahirkan. Baginda tidak pernah menyembah berhala walaupun ia merupakan amalan keluarga dan kaumnya ketika itu. Akhirnya Buhaira berkata, “Aku memohon demi Allah agar engkau memberitahukan persoalan-persoalan yang hendak aku tanyakan kepadamu.” Nabi membalas, “Tanyalah apa sahaja yang engkau inginkan.”

Maka, Buhaira mula bertanya perkara-perkara berkenaan Nabi seperti tidurnya, penampilannya serta beberapa soalan lain. Jawapan yang diberikan baginda semuanya bertepatan dengan sangkaan Buhaira. Di akhirnya, Buhaira meminta izin untuk melihat belakang Nabi Muhammad. Sahlah telahan Buhaira, terdapat tanda Khatamun Nubuwwah pada belakang Muhammad. Khatamun Nubuwwah ialah tanda yang menunjukkan beliau merupakan seorang nabi. Tanda itu terletak pada belakang badan Rasulullah. Berdasarkan As-Syamail Al-Muhammadiyah (Imam Tirmizi, 2013), Jabir bin Samurah berkata: “Aku pernah melihat tanda kenabian yang ada di antara kedua-dua bahu Rasulullah, iaitu benjolan daging yang berwarna merah sebesar telur burung merpati.” (Direkodkan oleh Muslim, Ahmad, at-Thabarani dan Tirmizi) Setelah itu bertanya pula Buhaira kepada Abu Talib, “Apakah ikatan kamu dengan anak ini?”
Abu Talib berkata, “Ini anak saya.”
Buhaira berkata, “Tidak sepatutnya ayahnya masih hidup.”
Abu Talib membalas, “Ya, benar, ayahnya sudah meninggal dunia ketika ibunya mengandungkannya.”

 Buhaira lantas menasihati Abu talib agar membawa Nabi Muhammad pulang ke Mekah dengan segera. Sekiranya baginda dibawa ke Syam, khuatir orang-orang Yahudi akan melihat dan mengenali Baginda dan mereka pasti akan membunuhnya. Oleh itu, Abu Talib segera menyelesaikan urusan perniagaannya dan segera kembali ke Mekah bersama Nabi. Menurut Prof. Madya Dr.Zulkifli Mohd Yusuf, Abu Talib mengupah orang menghantar Nabi Muhammad ke Mekah sementara dia terus ke Syam menjalankan perniagaan.

Ini menunjukkan bahawa, kenabian nabi Muhammad turut diakui oleh orang yang bukan beragama Islam. Ini dapat dibuktikan dengan kata-kata Buhaira;

“Ketika kalian turun dari bukit, seluruh batu dan pohon bersujud. Batu dan pohon tidak akan bersujud kecuali pada seorang nabi. Saya pun mengenalnya melalui tanda kenabian yang terletak di bawah tulang pundaknya. Bentuknya seperti buah epal dan kami mengetahui tanda tersebut dari kitab suci.”

Selain itu tanda kenabian Rasulullah juga turut dapat dikesan oleh seorang paderi Nasrani bernama Mastura ketika Nabi pergi berniaga di negeri Syam pada umur 20 tahun. Siti Khadijah binti Khuwaidlid adalah seorang wanita bangsawan yang kaya daripada bani Assad keturunan suku Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab. Kekayaannya hingga menyamai perniagaan semua orang Quraisy yang lain. Apabila beliau mendengar berita mengenai Nabi Muhammad yang mempunyai sifat yang jujur serta peribadi yang mulia, beliau telah menawarkan kepada bagida untuk menguruskan perniagaannya ke negeri Syam. Setelah Nabi Muhammad bersetuju, baginda telah berangkat ke Syam membawa barang-barang dagangan Siti Khadijah.

Miasarah iaitu salah seorang pekerja Siti Khadijah yang turut serta dalam rombongan tersebut merasa sangat kagum dan tertarik dengan peribadi nabi Muhammad. Sepanjang perjalanan Nabi Muhammad sentiasa melayaninya dengan baik, mesra dan lemah lembut. Selepas itu, Maisarah melihat peristiwa yang lebih aneh lagi dimana awan sentiasa menaungi mereka daripada cahaya matahari sepanjang perjalanan mereka. Setelah penat berjalan, rombongan yang bersama Nabi Muhammad telah berhenti seketika di tempat rehat sebelum masuk ke Syam berdekatan dengan ruma ibadat paderi yang pernah didatangi oleh Nabi Muhammad bersama Abu Talib satu ketika dahulu. Pada waktu tu Buhaira sudah tidak ada lagi. Dia sudah meninggal dunia dan digantikan dengan seorang paderi yang lain. Seperti Buhaira, paderi itu juga menyedari bahawa terdapat awan yang sentiasa mengiringi perjalanan Muhammad dan Maisarah. Muhammad tidak behenti di tempat rombongan lain biasa berhenti, tetapi baginda berhenti di bawah sebatang pokok tidak jauh dari situ. Tidak ada orang lain yang berhenti disitu selain mereka. Paderi itu hairan melihat dahan dan ranting-ranting pokok itu bergerak menaungi Nabi Muhammad daripada cahaya matahari.

Disebabkan rasa ingin tahu, paderi tersebut datang bertemu dengan Maisarahdan bertanyakan pelbagai soalan. Paderi itu juga menunjukkan kepada Miasarah pokok yang menjadi tempat berteduh Nabi Muhammad. Paderi itu berkata, “Hanya seorang nabi sahaja yang berteduh di bawah pokok ini.”

Mendengarkan hal itu, Maisarah betambah hairan. Berbagai-bagai perkara ajaib yang telah disaksikan oleh Maisarah sepanjang perjalanannya bersama Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang indah akhlaknya, kasih sayangnya, kemampuannya berhadapan dengan pelbagai lapisan orang, belas kasihannya kepada orang-orang miskin serta kejujurannya menyebabkan semua orang tertarik dan datang kepadanya. (Prof. Madya Dr.Zulkifli Mohd Yusuf, 2004)

 Selain itu, tanda kenabian nabi Muhammad juga terlihat apabila Abu Talib memohon hujan dengan peribadi baginda dan telah diperkenankan oleh Allah. Menurut kitab Rahiqul Makhtum, Ibn Asakir telah meriwayatkan daripada Jalhamah bin Arfatah, katanya: Aku pernah pergi ke Mekah di saat penduduknya sedang menghadapi kemarau. Lalu berkatalah orang-orang Quraisy: Hai Abu Talib, lembah ini telah gersang, dan anak pinak kita kekurangan makanan. Marilah kita berdoa meminta hujan. Kemudian Abu Talib keluar dengan membawa seorang budak bersama-samanya. Budak itu seolah-oleh mentari yang dikelilingi awan-awan , lalu kelihatan jelas dari awan-awan itu awan mendung yang membawa kebaikan yang banyak. Di keliling budak itu terdapat ramai kanak-kanak. Lalu Abu talib mengangkat budak itu dan menyandarkan belakangnya ke Ka’bah serta mendekapkan jari-jemari ke tubuh budak itu. Ketika langit kosong dan tiada awan kecil, tiba-tiba datang awan mendung dari pelbagai arah dan mula menitis dan mencurah-curah. Lembah mekah mula menerbitkan air dan menyuburkan bumi di serata tempat. Abu Talib menyebut peristiwa ini dalam syairnya:

Si putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya,
Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu

Selain itu, tanda kenabian Baginda juga dapat dilihat ketika Nabi Muhammad menerima wahyu di Gua Hira’. Nabi Muhammad SAW telah menerima wahyu pada umur Baginda 40 tahun. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW berada di Gua Hira’ yang terletak di atas Bukit Nur yang terletak kira-kira dua batu dari Mekah. Di sana Nabi telah menghabiskan masa dengan beribadat serta berfikir tentang alam sekeliling serta kekuasaan yang mengadakannya. Baginda sama sekali tidak yakin dengan pegangan kaumnya yang mengamalkan amalan syirik yang tidak jelas gambarannya. Baginda sering kali bertanya kepada bapa saudara Baginda sendiri iaitu Abu Talib, mengapa penduduk  Mekah menyembah berhala sedangkan ia tidak dapat melakukan apa-apa kecuali membisu dan diam. Nabi Muhammad SAW dapat merasakan ada sesuatu yang lebih berkuasa dari berhala-berhala tersebut, lalu Baginda sering termenung dan menyendiri di Gua Hira’. Aisyah r.a meriwayatkan;
“Sebelum kedatangan wahyu yang pertama, sering dialami oleh Rasulullah SAW ialah mimpi-mimpi yang benar (ar-ru’yah ash-shadiqah). Apa yang sering terlihat dalam mimpi selalu terbukti kebenarannya secara nyata, seterang cahaya pagi. Setelah itu Baginda terdorong untuk berkhalwat (menyepi atau menjauhkan diri dari segala kesibukan) di Gua Hira’. Di sana Baginda beribadah selama beberapa malam, kemudian pulang pada keluarga untuk mengambil bekalan dan melanjutkan khalwat yang berikutnya.”
Begitulah keadaan Rasulullah sehingga datangnya ‘Al-Haq’ (Kedatangan yang Mutlak), iaitu kedatangan malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu yang pertama di dalam surah Al-Alaq. Berdasarkan kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah SAW), Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa;
“Permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah mimpi-mimpi yang baik semasa tidur. Baginda tidak bermimpi melainkan mimpi yang sangat jelas sejelas suria. Kemudian timbul keinginan Baginda untuk bersendirian. Lalu Baginda bersendirian di Gua Hira’, beribadat di dalamnya beberapa malam sebelum kembali kepada isterinya mengambil bekal. Setelah habis bekal, Baginda kembali semula kepada Khadijah dan mengambil bekal semula seperti sebelumnya. Ahirnya datanglah kebenaran kepadanya ketika Baginda sedang berada di dalam Gua Hira’. Seorang malaikat datang kepadanya dan berkata: “Bacalah”. Aku (Rasulullah) menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Kata Baginda:lalu jibril memelukku sehingga aku merasa sangat sesak, kemudian dilepaskannya aku sambil berkata: “Bacalah.” Aku (Rasulullah) menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Lalu dipeluknya aku kali ketiga kemudian dilepaskannya, seraya berkata:  
Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (Surah Al-Alaq: 1-3)
            Lalu Rasulullah SAW pulang dengan perasaan yang gementar sehingga apabila sampai kepada Khadijah, Baginda berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku. Lalu Baginda diselimuti hingga hilang keresahannya. Baginda berkata kepada Khadijah: Apa yang terjadi padaku? Lalu diceritakan peristiwa itu kepada Khadijah. Aku bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepadaku. Lantas Khadijah menyahut : Tidak sekali-kali demi Allah, Dia tidak sekali-kali akan memeprsiakan kamu , kerana engkau orang yang suka menghubungkan tali persaudaraan, menanggung bebanan orang yang susah, menolong orang kafir, memuliakan tetamu dan engkau selalu membantu sebarang perkara kebaikan. Kemudian Khadijah membawanya pergi berjumpa Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu bapa saudara Khadijah.-Waraqah merupakan seorang yang menganut agama Nasrani semasa jahiliah, menulis kitab dalam bahasa Ibrani; banyak kandunagn kitab Injil yang ditulisnya sebanyak yang dikehendaki Allah dan beliau ialah seorang yang yang telah tua dan buta pula-. Lalu Khadijah berkata kepadanya: “Hai bapa saudaraku, dengarkan apa yang anak saudaramu akan ceritakan.” Waraqah berkata kepada Rasulullah: “Hai anak saudaraku, apa yang engkau lihat?” Baginda pun memberitahu apa yang dilihatnya kepada Waraqah. Kemudian Waraqah berkata: “Itulah Namus yang diturunkan oleh Allah kepada Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.” Lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah mereka akan mengusirku?” Jawab Waraqah: “Betul, tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa melainkan ia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan sungguh-sungguh.” Tidak lama selepas itu Waraqah meningal dunia dan wahyu terhenti.”
            Waraqah juga ada berkata,” Wahai Khadijah! Percayalah, demi Waraqah yang berada dalam tangan-Nya, bahawa yang datang menemui suamimu (Muhammad) itu adalah Malaikat Jibril yang membawa wahyu, percayalah bahawa suamimu adalah seorang rasul.” Peristiwa ini cukup jelas membuktikan bahawa kenabian Rasulullah sememangnya diketahui dan diakui oleh ahli-ahli agamawan.  

            Al-Bukhary meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW menceritakan tentang tempoh terhentinya wahyu dengan sabdanya:

“Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit. Aku pun mendongak pandangan ke arah langit. Tiba-tiba aku dapati Jibril yang pernah datang kepadaku di Gua Hira’ duduk di atas kerusi antara langit dan bumi. Lalu aku pun duduk berlutut sehingga rebah ke bumi. Kemudian aku datang kepada isteriku dan berkata: selimutkan aku, selimutkan aku. Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan firmanNya:
  
Wahai orang Yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan. Dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi. (Surah Al-Muddaththir: 1-5)

TANDA-TANDA KENABIAN SEMASA KELAHIRAN RASULULLAH



Ketika kelahiran Nabi Muhammad saw ke dunia, banyak perkara pelik yang telah berlaku. Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan salah satu daripada tanda tersebut. Menurutnya, sewaktu Nabi Muhammad lahir, dia berada di Madinah. Ketika itu dia baru berumur tujuh tahun. Pada hari itu aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi telah memanjat naik ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, “bintang Ahmad muncul di langit” Bintang ini hanya akan muncul apabila Muhammad dilahirkan. Peristiwa itu disaksikan sendiri oleh Hasan. 

Tanda-tanda kenabian pada diri kekasih Allah, Muhammad bin Abdullah bukan sahaja dapat dilihat sebelum baginda dilahirkan sahaja, malah tanda-tanda itu turut terlihat sewaktu baginda keluar dari perut ibunya, Aminah.
Aminah binti wahab telah menceritakan pada waktu melahirkan nabi Muhammad SAW, dia merasakan di sekelilingnya ada cahaya yang bergemerlap bagaikan bintang berjatuhan. Ketika itu datuk Nabi Muhammad SAW, Abdul Muthalib sedang berada di Ka’bah. Sebaik sahaja beliau mendengar berita kelahiran cucunya, Abdul Muthalib kembali ke rumah. Beliau sangat gembira menyambut kelahiran cucu yang dinantikan lalu menamakannya Muhammad yang bererti “orang yang terpuji”. Pada saat kelahiran rasul utusan akhir zaman, Nabi Muhammad SAW iaitu pada tanggal 12 Rabiul Awwal, tahun gajah, Aminah telah menyaksikan cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Malah cahaya tersebut bersinar sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia kelihatan seakan-akan anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Menurut sesetengah pendapat, cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Sumber-sumber Arab yang paling awal menyatakan bahawa ketika baginda dilahirkan terdapat suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah.
Menurut buku Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam (karangan Mustafa al-Saqa, Ibrahim al-Abyari dan Abdul Hafiz Syalabi), sewaktu beliau mengandungkan Baginda Rasulullah SAW, beliau juga telah bermimpi melihat cahaya keluar dari perutnya hinggakan dengan cahaya tersebut beliau dapat melihat istana-istana Busra di negeri Syam. Tambahan lagi tanda kenabian baginda juga telah terlihat sebaik  sahaja lahir ke dunia. Hal ini dapat dibuktikan dimana ibu baginda, Aminah sendiri melihat baginda berada dalam keadaan terbaring sementara kedua-dua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Menurut sesetengah riwayat lain, ketika dilahirkan nabi berada dalam keadaan memandang ke arah langit serta tangannya diletakkan ke tanah melambangkan martabatnya lebih tinggi daripada semua makhluk.
Kitab Taurat dan Injil telah menceritakan perihal kelahiran seorang nabi pada akhir zaman yang memiliki darjat yang lebih tinggi daripada nabi-nabi yang lain. Ketika Aminah melahirkan Nabi Muhammad SAW, beliau ditemani oleh Asiah dan Maryam. Ini juga menjadi satu isyarat bahawa darjat Nabi Muhammad lebih tinggi berbanding Nabi Musa dan Nabi Isa. Menurut Rusydi Ramli (2012), peristiwa yang mengawal kelahiran setiap nabi tidak akan terjadi secara kebetulan. Semua peristiwa tersebut berada dalam realiti dan telah direncanakan oleh Allah SWT, khususnya yang berkenaan dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW baik dalam kitab Taurat mahupun Injil. Firman Allah dalam Al-Quran:
   
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!" (Surah As-Shaff: 6)

Selain itu, ibunda Rasulullah SAW turut melihat awan turun dan menyelimuti dirinya dan menyerunya untuk memimpin bayinya mengelilingi bumi Timur dan Barat, agar mereka mengetahui bahawa dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik. Sementara pada malam kelahiran baginda juga, berhala-berhala yang terdapat di situ telah rosak dan musnah. Abdul Mutalib yang ketika itu sedang berada di Kaabah telah melihat peristiwa di mana berhala tiba-tiba jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Abdul Mutalib turut mendengar suara dari dinding Kaabah yang mengatakan “telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''
Sementara itu, Al-Hafiz Ibnu Kathir pula menjelaskan di dalam kitabnya bahawa Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan dalam keadaan telah dikhitankan dan sudah terputus urinya (Abu Mazaya Al-Hafiz, 2008). Beliau meriwayatkan daripada Al-Baihaqi di mana mafhumnya adalah seperti berikut:

Abu Baihaqi berkata, “Abu Abdillah Al-Hafiz menceritakan kepadaku, menceritakan kepadaku Abu Bakar bin Ahmad bin Hatim Ad-Darai,  menceritakan kepadaku Abu Abdillah Al-Busaynji, menceritakan kepadaku Abu Ayyub Sulaiman bin Salamah Al-Khabairi, menceritakan kepadaku Yunus bin Ata’ bin Uthman bin Rabi’ah bin Ziyad bin Al-Harith al-Shadai di Mesir, menceritakan kepadaku al-Hakam bin Abban daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas daripada bapanya (Abbas) bin Abdil Mutahalib r.a. dia berkata, “Adalah Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan telah berkhitan dan terputus urinya.” Kemudian di berkata lagi, “Maka hairanlah Abdul Mutalib dan dia pun mendekati dan hormat kepadanya.” Kemudian dia berkata, “Sesungguhnya ada sesuatu (yang luar biasa) pada anakku ini. Maka hal itu pun benar-benar terbukti.

Sementara itu, Ibnu Asakir pula meriwayatkan daripada satu hadis yang diambil daripada Sufyan bin Muhammad al-Masisi daripada Hisyam bin Malik, “Adalah Rasulullah SAW bersabda:

“Sebahagian daripada kekeramatanku (kemuliaanku) daripada Allah SWT adalah aku dilahirkan dalam keadaan telah berkhitan dan tiada seorang pun yang mengalami hal ini selain aku.”
Namun begitu, al-Hafiz Ibnu Asakir meriwayatkan satu hadis lagi daripada Abdul Rahman bin Uyainah al-Basri, menceritakan kepadaku Ibnu Muhammad Al-Madaini al-Salma, menceritakan kepadaku Salamah bin Maharib bin Muslim bin Ziyad daripada bapanya daripada Abi Bakrah, “Bahawasanya Jibril telah mengkkhitan Nabi Muhammad SAW ketika beliau membersihkan dan mencuci hati Baginda SAW.” Berhubung hadis ini, Ibnu Kathir berkata , “Yang sedemikian ini adalah sangat aneh.”

            Kelahiran Nabi Muhammad SAW telah membawa rahmat ke seluruh Alam. Allah telah merahmati setiap orang yang meraikan dan memuliakan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Iaitu orang-orang Yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi Yang Ummi, Yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di Dalam Taurat dan Injil Yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka Dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara Yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu Yang ada pada pada mereka. maka orang-orang Yang beriman kepadaNya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) Yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang Yang berjaya.( Surah Al-‘Araf : 157)

Ini dapat dibuktikan apabila Allah SWT juga telah meringankan azab kepada Abu Lahab atau Abdul Uzza yang menyambut kelahiran Baginda Muhammad SAW. Seperti yang kita sedia maklum, Abu Lahab merupakan bapa saudara nabi yang sangat gembira dia atas kelahiran Nabi Muhammad. Namun, setelah Nabi Muhammad menjadi Rasul dan menyampaikan risalah Islam kepadanya, Abu Lahab telah mencaci baginda dan sama sekali menolak ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Peristiwa ini berlaku setelah Baginda Rasulullah dilantik menjadi Nabi, di mana perkara pertama yang dilakukan Nabi SAW ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku, sepupu-sepupuku, adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" Jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi SAW pada waktu itu berkata: "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." Maka jawab Nabi SAW. "Maka pada hari ini aku ingin isytiharkan aku adalah utusan Allah." Lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Celakalah Muhammad", apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?". Sehubungan itu, Allah SWT telah menurunkan ayat Al-Qur'an surah Al-Masad:
   
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan Segala Yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka Yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali Yang dipintal.
            Mahupun begitu, Allah telah memberikan keistimewaan kepada Abu Lahab di mana setiap hari Isnin, azab ke atasnya akan diringankan hanya kerana di telah menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab ketika menerima berita kelahiran Nabi Muhammad SAW telah pun menyatakan kesyukuran kepada tuhan yang menjaga Ka'bah, dan mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda gembira dengan kelahiran Muhammd SAW. Malah, Abu Lahab juga telah memerdekakan beberapa orang hamba. Seorang daripadanya ialah Suwaibah yang kemudiannya menjadi ibu susu Nabi.
Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, bahawa azab ke atas Abu Lahab diringankan pada Isnin, iaitu hari kelahiran Rasulullah, kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.

            Dengan hanya disebabkan keraian Abu Lahab terhadap kelahiran rasulullah, Allah telah meringankan azab terhadap beliau pada setiap hari Isnin. Ini menunjukkan betapa istimewanya hari kelahiran nabi Muhammad hinggakan Abu Lahab yang kuffar, serta seorang musuh kepada Nabi juga diringankan azabnya. Malah, hal ini juga jelas mununjukkan darjat dan ketinggian Rasulullah SAW di sisi Allah serta menjadi tanda kebesaran dan kenabian Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah.  Menurut Al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, adalah menganjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda. Hari kelahiran Baginda adalah ‘Hari Kebesaran Islam' dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Qatadah an-Ansari meriwayatkan "Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: "Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku." (Hadis riwayat Muslim).